comscore
Tumpuan :
Nasional

Keunikan Masjid Al-Khairiah memukau pengunjung

LUMUT: Jika bercuti ke Pulau Pangkor, jangan lupa singgah ke Masjid Al-Khairiah.

Uniknya, jika dilihat dari luar, reka bentuk binaan termasuk atap, pintu gerbang serta pagar di sekeliling bangunan ini saling tidak tumpah seperti tokong masyarakat Cina, namun dindingnya dipenuhi dengan kaligrafi Arab.

Kedudukannya di Kampung Sungai Pinang Kecil yang dikelilingi oleh majoriti masyarakat berbangsa Cina membuatkan ramai pelancong keliru serta tertanya-tanya mengenai status sebenar bangunan ini.

Menyingkap sejarah pembinaan masjid ini, pengerusinya, Omar Ahmad,72, berkata, idea asalnya diilhamkan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

 

“Pada asalnya tapak ini memang sudah didirikan masjid lama dengan stuktur kayu pada 1926 oleh masyarakat setempat ketika itu yang terdiri daripada masyarakat Cina Muslim, India Muslim dan orang Melayu.

Pada 1946, masjid ini dibina semula dengan stuktur dinding bata.”Oleh sebab, kini kawasan ini di kelilingi masyarakat berbangsa Cina, tercetus pula idea reka bentuk dan hiasan dalamannya menjurus kepada motif oriental.

“Di bahagian luar pula, jika dilihat memang kelihatan seperti tokong. Kerap juga pelancong yang datang ke sini tanyakan sama ada ini tokong atau masjid,” katanya.

Masjid ini berada di bawah pengawasan Jabatan Kerja Raya Perak dan Daerah Manjung serta Pejabat Daerah Manjung.

Manakala kaligrafi yang terdapat pada masjid ini sudah mendapat pengesahan Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Perak.

Keseluruhan pembinaan masjid ini diuruskan oleh Yayasan Restu apabila diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih konsep ayat, motif, warna dan susun atur reka bentuk hiasan dalaman masjid ini.

Segala proses penghasilannya seperti penyelidikan dan pembangunan, penghasilan reka motif, pewarnaan, penulisan kaligrafi, susun atur hiasan dalaman, penghasilan serta pemasangan jubin dijalankan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam.

Keseluruhan kaligrafi di masjid ini berkisarkan tentang himpunan doa yang diperoleh daripada ayat al-Quran, hadis Nabi Muhammad SAW dan juga doa yang dikumpulkan daripada ulama muktabar.

Jika diperhatikan di tiang masjid ini pula, terdapat Asma’ al-Husna ditulis dalam bentuk kaligrafi Cina.

Kebanyakan reka bentuk yang terdapat dalam Masjid al-Khairiah ini menggunakan pola yang menggabungkan unsur ketimuran dari negara China dan identiti negeri Perak dalam satu bentuk hiasan.

Pelawat dialu-alukan untuk memasuki ruangan dalam masjid bagi melihat sendiri keindahan gabungan motif oriental serta kaligrafi doa dengan lebih dekat lagi.

Tambahnya, pelancong bukan Islam juga dibenarkan masuk dan pihak masjid sudah menyediakan jubah khas untuk mereka.

Loading...
Terkini