comscore
Tumpuan :
Nasional

KM Melaka pecah tradisi hadir rumah terbuka DAP rai Tahun Baharu Cina

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Atas nama Kerajaan Perpaduan, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali memecah tradisi apabila menziarahi kediaman Ahli Parlimen DAP di sini sempena di Tahun Baharu Cina hari ini.

Kunjungan itu mengejutkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong daripada DAP apabila dimaklumkan bahawa Sulaiman akan ke kediamannya di Jalan Ong Kim Wee pada jam 5.30 petang tadi.

Phoay Tiong yang juga Naib Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan berkata, ini adalah kali pertama Ketua Menteri daripada UMNO meraikan Tahun Baharu Cina bersamanya sejak menjadi wakil rakyat pada 2008.

“Yang Amat Berhormat (YAB) dan isteri (Datin Seri Munira M Yusop) meluangkan masa hampir satu jam bertanya khabar mengenai keluarga selain menyentuh perancangannya bersama-sama Pakatan Harapan (PH) untuk memajukan Melaka.

“Beliau menyatakan komitmennya memajukan Melaka seperti dilakukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang mana inisiatif sebegitu juga perlu diterjemahkan di peringkat negeri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Phoay Tiong, inisiatif diambil Sulaiman itu sekali gus memberi mesej jelas kepada rakyat terhadap usaha Barisan Nasional (BN) Melaka dalam konteks mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“YAB mahu kami bergerak bersama memajukan Melaka di setiap peringkat baik cawangan, bahagian, negeri bahkan ahli parti akar umbi juga perlu menggerakkan semangat perpaduan ini.

“Tentulah, ini juga merupakan satu cabaran yang besar memandangkan kami sebelum ini masing-masing berada di pihak yang berlawanan, namun kini bersatu atas nama Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tambahnya, dalam kunjungannya itu, Sulaiman dihidangkan minuman Teh Cina, kuih karipap yang dibuat ibu tunggal Melayu dari kawasan sekitar dan buah-buahan.

Loading...
Terkini