comscore
Tumpuan :
Nasional

KOM Dalam Ambang Membentuk Semula Program Pembangunan – Shahidan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam ambang membentuk semula program pembangunan bagi mendapatkan bakat baharu yang berpotensi, kata Presidennya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata pengurusan baharu KOM yang hanya empat bulan mengambil alih persatuan sedang memberi fokus kepada program berprestasi tinggi untuk memperbaiki pencapaian pingat pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja bermula 5-16 Mei tahun depan.

“Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 baru-baru ini telah membantu untuk melahirkan atlet muda yang berpotensi. Atlet-atlet ini telah dikenal pasti oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan bantuan sewajarnya akan diberikan untuk memupuk mereka ke peringkat seterusnya.

“Kita perlu sedia maklum bahawa KOM tidak menyertai kesemua 47 acara (di Sukan SEA). Kesatuan hanya mengambil bahagian dalam acara yang disasarkan dapat menghasilkan pingat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Selasa lepas, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi peringatan kepada sukan renang dan olahraga untuk bertindak segera memperbaiki pencapaian di Sukan SEA Kemboja, supaya kedudukan pingat keseluruhan kontinjen negara dapat diperbaiki.

Mohamad Norza menyatakan pencapaian kurang memuaskan kedua-dua sukan berkenaan, antara sukan yang menawarkan pingat emas terbanyak di temasya dwi tahunan itu sebagai penyebab utama kontinjen Malaysia menamatkan cabaran di Hanoi dengan menduduki tangga keenam selepas mengutip 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Di Hanoi, skuad olahraga hanya meraih lima emas, tiga perak dan lapan gangsa daripada keseluruhan 47 pingat emas ditawarkan manakala renang hanya membawa pulang satu emas, empat perak dan dua gangsa dari 40 pingat emas dipertandingkan.

Olahraga dan renang kekal sebagai sukan penting sekiranya Malaysia mahu memperbaiki kedudukannya di Kemboja, apabila masing-masing mempertandingkan 47 dan 39 pingat emas daripada keseluruhan 608 acara. – BERNAMA

Loading...
Terkini