comscore
Tumpuan :
Nasional

Konflik Asia Barat: Kerajaan pantau kedudukan pasaran kewangan termasuk dampak ke atas Malaysia – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu termasuk pegawai tertinggi kerajaan untuk membincangkan situasi terkini di rantau Asia Barat. – FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memantau rapat perkembangan konflik di Timur Tengah dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia.

“Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia,” kata beliau, yang juga Menteri Kewangan, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Serangan yang dilancarkan oleh Iran adalah tindak balas yang berpunca daripada serangan Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini, dan ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum serta undang-undang antarabangsa, katanya lagi.

“Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Asia Barat tidak terus memuncak demi kepentingan serta keamanan sejagat, dan semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.”

“Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dengan tegas berkata Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita daripada kemelut ini selain menambah, sekarang adalah ketikanya bagi semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu termasuk pegawai tertinggi kerajaan untuk membincangkan situasi terkini di rantau Asia Barat.

Ia susulan serangan Iran ke atas kawasan yang diduduki Israel, semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini