comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Konsortium Rahmah sebagai inisiatif bantu rakyat

 

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang menubuhkan sebuah Konsortium Rahmah bagi memperkenalkan lebih banyak lagi inisiatif bagi membantu rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, konsortium itu akan dianggotai oleh semua pemain industri dan tidak terhad kepada sektor makanan sahaja malah pelbagai industri lain.

“Saya telah mula memikirkan untuk menubuhkan sebuah konsortium Rahmah untuk kita memikirkan apa lagi inisiatif yang lebih Rahmah, apa lagi sumbangan yang boleh kita adakan.

“Dengan konsortium ini yang dianggotai oleh semua pemain industri, insyallah beri masa kepada kami tiga bulan untuk kita dapat melakukan suatu hala tuju yang akan lebih memberi manfaat kepada rakyat,” katanya selepas pelancaran Menu Rahmah oleh KFC dan Pizza Hut.

Tambahnya, syarikat yang berminat dijemput menganggotai konsortium ini agar satu pelan komprehensif dapat dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada rakyat menerusi program Rahmah yang sedang dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Salahuddin berkata, penyertaan rangkaian restoran makanan segera ternama ini telah memadamkan keraguan yang timbul di hari pertama KPDN melancarkan Menu Rahmah ini.

“Ini membuktikan bahawa inisiatif ini sebenarnya telah dapat menakluk atau bertakhta di hati pemain industri yang merelakan sebahagian keuntungan mereka untuk dipulangkan kembali kepada rakyat.

“Malah, telah ada syarikat yang mengeluarkan kenyataan rasmi yang menu ini telah membantu meningkatkan jualan mereka sehingga 30 peratus.” ujarnya.

Sementara itu, berkenaan isu bekalan gula, Datuk Seri Salahuddin berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada rakyat mengenai kekurangan bekalan di pasaran setakat ini.

Datuk Seri Salahuddin berkata, rakyat tidak perlu bimbang dan beliau memberi jaminan bekalan gula itu mencukupi di pasaran dan tidak berlaku peningkatan harga.

Loading...
Terkini