comscore
Tumpuan :
Nasional

Konvensyen Kerajaan Perpaduan: Medan terbaik seragamkan hala tuju negara

KUALA LUMPUR : Setelah lebih 100 hari mengemudi pentadbiran negara, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan konvensyen bersama parti-parti dalam kerajaan pada 14 Mei ini dalam usaha memastikan gerak langkah dan hala tuju seiring dalam memimpin negara.

Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Dr Jayum Anak Jawan berkata Konvensyen Nasional itu penting untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan kukuh dan utuh untuk membawa negara ke depan meskipun perlu menyusuri pelbagai cabaran dalam proses pentadbiran.

Konvensyen yang akan disertai 20 parti dalam Kerajaan Perpaduan itu juga akan memberi gambaran politik dan kepimpinan negara dalam keadaan stabil sekali gus meyakinkan pelabur luar agar tidak bimbang untuk melabur di negara ini.

“Konvensyen ini juga akan menunjukkan bahawa kerjasama antara parti utama iaitu PKR, DAP, UMNO, GPS berjalan baik dan pemimpin bekerjasama bagi satu tujuan iaitu memajukan Malaysia demi menunaikan amanah yang sudah diberikan rakyat pada PRU15,” katanya kepada Bernama.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyifatkan konvensyen berkenaan seolah-olah memberi laporan kepada rakyat mengenai usaha yang telah dan akan dilakukan kerajaan pimpinan Anwar dalam mengemudi kerajaan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil berkata konvensyen itu akan menjadi medan terbaik bagi membincangkan segala persoalan, pertanyaan dan permasalahan antara parti dalam kerajaan selain memberikan impak besar kepada rakyat untuk memahami arah tuju kerajaan supaya mereka terus memberikan sokongan.

”Konvensyen ini sangat relevan kerana keputusan nanti untuk nyatakan mengapa Kerajaan Perpaduan ini dibentuk, mengapa ia perlu dikekalkan, mengapa ia perlu disokong dan atas alasan apa kerajaan ini akan terus menjadi pemerintah yang terbaik selepas era demokrasi di negara ini berkembang,” katanya.

Bagi Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick, konvensyen itu penting kerana ia platform sumbang rumus ke arah menjadikan Malaysia lebih progresif, harmoni, bersatu dan membangun.

“Bagi UPKO, pentadbiran negara harus dipimpin oleh gagasan politik pelbagai kaum yang progresif dan tidak ekstrem kepada dasar satu-satu kaum dan agama. Sebab itu, UPKO berasa lebih senang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dan akan memainkan peranan dalam memberi input-input tadbir urus negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, boleh meningkatkan keserasian kepimpinan parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan. – BERNAMA

Loading...
Terkini