comscore
Tumpuan :
Nasional

Kotor! Tiga Kilang Proses Makanan Diarah Tutup Serta Merta

 

FOTO: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka

Oleh Baharuddin Mohamed

JASIN: Tiga kilang memproses makanan diarah tutup serta merta selepas gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rushdi Abdul Rahman, ketiga-tiga premis itu membabitkan kilang aiskrim, susu tepung dan taufu.

Kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Kesihatan Melaka hari ini.

Tiga kilang terbabit didapati gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Ketiga-tiga kilang terbabit beroperasi kawasan kilang halal hub di Serkam dan kawasan perindustrian Jasin.

“Dalam operasi itu juga, 10 kilang dikenakan kompaun sebanyak RM25,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan diambil susulan kilang terbabit gagal menyediakan atau mengadakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, sehingga hari ini pihaknya telah memeriksa 73 kilang memproses makanan.

Daripada jumlah itu, 58 kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Sebanyak RM47,350 nilai kompaun telah dikenakan terhadap premis terbabit.

“Bagi memastikan makanan yang disediakan adalah selamat dan tidak menyebabkan kemudaratan, semua premis pengilangan makanan disaran untuk mendapatkan sekurang-kurangnya persijilan Makanan Selamat
Tanggungjawab Industri (MeSTI),” ujarnya.

Dalam operasi selama enam jam yang berakhir jam 2 petang tadi, seramai 30 pegawai dan anggota daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Perbandaran Jasin terlibat.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) yang bertujuan memastikan semua kilang di Melaka mendapatkan persijilan MeSTI.

 

Loading...
Terkini