comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPDN & MAFS bincang kenaikan harga ayam dari ladang

Foto hiasan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Satu pertemuan di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) diadakan hari ini susulan peningkatan harga ayam di peringkat ladang sejak beberapa hari lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kedua-dua pihak akan meneliti data terkini bekalan bahan mentah itu secara tuntas sebelum membuat sebarang pengumuman.

 

“Petang ini KPDN dan MAFS akan mengadakan pertemuan kerana rantaian bekalan huluan mesti disemak daripada MAFS, manakala di peringkat hiliran, kita (KPDN) menentukan atau kawal dari segi harga dan keberadaan di pasaran,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Geran Kajian, Pembangunan dan/atau Pengkomersilan (R&D&C) Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung di sini, hari ini.

Beliau berkata, MAFS turut akan memanggil pemain industri esok berhubung isu sama.

Media sebelum ini melaporkan bekalan ayam segar yang berkurangan ketika ini memaksa harga bahan mentah itu naik 20 sen di peringkat ladang bermula hari pertama Ramadan, Khamis lalu.

Ketika ini harga ayam di peringkat runcit dinaikkan RM11 sekilogram sejak awal Ramadan dan ia dijangka meningkat kepada RM11.50 dalam tempoh terdekat jika peniaga menerima notis kenaikan 20 sen daripada peladang.

Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng berkata, ketika ini berlaku kekurangan bekalan ayam segar hampir 30 peratus di pasaran menyebabkan kenaikan harga bahan mentah itu tidak dapat dielakkan.

Katanya, kekurangan bekalan ayam itu disebabkan benih ayam yang berkurangan disebabkan penyakit melanda.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, setakat minggu lalu, data yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan bekalan ayam stabil dan mencukupi sehingga Aidilfitri ini.

“Tahun ini kita mendapat RM100 juta peruntukan (menerusi Belanjawan 2023) untuk diadakan Program Jualan Rahmah. Contoh ayam harga RM9 sekilo, kita boleh jual RM5. Kita subsidi separuh harga. Ini mendapat sambutan rakyat.

“Ini langkah-langkah bersifat jangka pendek dapat dilakukan sementara menunggu langkah-langkah jangka sederhana dan panjang yang memerlukan komitmen Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan juga 11 kementerian yang menganggotai Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL),” katanya.

Loading...
Terkini