comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan telur ayam dijangka pulih menjelang akhir tahun ini – Mat Sabu

Foto hiasan

JAKARTA: Pengeluaran bekalan telur ayam dalam negara dijangka kembali pulih menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata ia didorong usaha memudahkan kemasukan pekerja sektor pertanian dan lain-lain oleh kerajaan melalui kementerian  berkaitan sejak Januari.

“Insya-Allah pada tahun ini, pengeluaran telur ayam mencukupi dan mampu sampai ke tahap eksport pada hujung tahun,” katanya pada majlis bersama diaspora Malaysia di Indonesia, di sini semalam.

Beliau berkata, risiko termasuk perubahan iklim dan penyakit akan terus diberi perhatian kerana boleh memberi kesan kepada pengeluaran sumber protein berkenaan.

Pada 16 Disember lalu, kementerian bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam dari sumber luar .

Kebenaran itu akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.

“Setelah kemasukan telur ayam import, bekalan sekarang mulai stabil dan di peringkat ini, kita boleh hentikan import itu bila-bila masa sebab kita mahu utamakan pengelur telur tempatan,” kata Mohamad.

Beliau dan pegawai tinggi kementerian berada di sini sempena lawatan kerja tiga hari sehingga Isnin untuk melihat pendekatan baharu  diguna pakai Indonesia dalam meningkatkan hasil padi .

“Ini akan memberi semangat kepada petani kita untuk berjaya sekiranya mereka bekerja seperti petani di sini meskipun subsidi yang diberikan lebih rendah berbanding di Malaysia,” katanya.

Menurutnya kementerian mahu mempercepatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara daripada 65 peratus sekarang kepada 75 peratus menjelang 2025 dan seterusnya 80 peratus pada 2030.

“Ia akan tercapai jika hasil ditingkatkan kepada purata tujuh tan perhektar daripada lima tan perhektar,” katanya sambil menambah ada beberapa tempat telah mencapai 10 tan perhektar. – BERNAMA

Loading...
Terkini