comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Melaka rampas barangan hampir RM5 juta tahun lalu

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas barangan bernilai hampir RM5 juta di atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, rampasan itu dilakukan menerusi 317 operasi dan pemeriksaan yang dijalankan di 30,021 premis perniagaan seluruh negeri ini.

“Sepanjang tahun lalu kami merekodkan rampasan bernilai RM4,925,249.50 yang dilakukan mengikut pelbagai akta dibawah KPDN.

“Tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 merekodkan kesalahan tertinggi dengan 189 kes diikuti Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 (49 kes) dan Akta Timbang dan Sukat 1972 (46 kes),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 yang disempurnakan Exco Perpaduan Pembangunan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem, di sebuah pusat jualan borong, di sini, hari ini.

Menurut Norena, sepanjang tahun lalu juga, KPDN mengeluarkan kompuan berjumlah RM91,150 terhadap peniaga di atas pelbagai kesalahan.

“Jumlah kompaun tertinggi dikeluarkan mengikut AKHAP 2011 dengan nilai sebanyak RM35,600 diikuti Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak RM30,000 dan APP 1999 berjumlah RM12,000,” katanya.

Ujar beliau, kejayaan operasi KPDN mendapat kerjasama orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat mengenai salah laku dalam kalangan peniaga.

Sementara itu, Hee Sem sekali lagi menegur peniaga negeri ini agar mempamerkan tanda harga pada barangan jualan mereka atau bakal dikenakan tindakan tegas jika gagal berbuat demikian.

 

Tegasnya, meskipun peringatan telah diberikan beberapa kali, masih ramai peniaga mengulangi kesalahan sama setiap kali pemeriksaan dijalankan KPDN.

“Hasil pemeriksaan sebelum ini termasuk di Jonker Walk, kami dapati masih ada peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga.

“Jadi selepas ini, apabila penguat kuasa dapati ada lagi peniaga yang gagal berbuat demikian, tindakan kompaun akan terus dikenakan,” tegasnya.

Menurut Hee Sem, pihaknya mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak mengambil kesempatan ke atas pelancong mahupun pelanggan apabila ada segelintir yang dikesan meletakkan harga jualan yang berbeza.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang SHMMP yang berkuat kuasa bermula 15 hingga 29 Januari ini, seramai 90 penguat kuasa KPDN ditugas melakukan pemeriksaan.

“Pegawai dan anggota penguat kuasa ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan juga pusat beli belah bagi memantau barangan keperluan perayaan,” tambahnya.

Loading...
Terkini