comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KPDN terima 99 aduan harga makanan di bazar Ramadan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 99 aduan berkaitan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan meskipun baru memasuki hari kelima umat Islam berpuasa.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pegawai penguat kuasa KPDN sentiasa memantau harga makanan di bazar Ramadan supaya berpatutan.

“Saya tidak mendengar harga melampau kecuali satu kes (yang mana) nasi ayam berempah yang dijual dengan harga RM15 yang saya anggap (kes harga melampau) sangat terpencil. Bila pegawai kita pergi lakukan pemeriksaan, gerai itu sudah tidak dibuka mungkin setelah mendapat kritikan.

“Sebenarnya kalau satu nasi dengan ayam ataupun sayur paling tinggi harga sekitar RM8 hingga RM9, itu kita faham. Tetapi kalau sampai RM15, itu dah dianggap tidak berpatutan, namun kes itu terlalu asing dan tidak menjadi isu di mana-mana bazar Ramadan,” katanya yang ditemui pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat kebangsaan di BRR Presint 14, di sini hari ini.

Sejak Sabtu lalu, tular di media sosial seorang pembeli meluahkan rasa kecewa apabila dia membeli nasi ayam berempah yang tidak sepadan dengan harga RM15 sebungkus di sebuah bazar Ramadan di Seri Kembangan, Selangor.

Salahuddin berkata, pegawai penguat kuasa KPDN tidak mengenakan denda atau menyita barang jualan, sebaliknya mengambil pendekatan memberi nasihat kepada peniaga yang didapati menjual pada harga terlalu mahal.

Mengulas mengenai BRR, Salahuddin berkata, ia adalah inisiatif terbaharu kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

Sehingga kini, sebanyak 38 lokasi BRR di seluruh negara yang turut menjual makanan pada harga di bawah RM5.

“Saya telah melihat hampir dua bulan inisiatif Menu Rahmah kita pelopori, semakin ramai yang menyertainya dan sampai ke hari ini, kita wujudkan BRR yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.Namun begitu jangan salah anggap KPDN kononnya memandang sepi pada mana-mana premis tiada mengadakan Menu Rahmah.

“Kita sangat mengalu-alukan (mana-mana perniagaan), sebagai Menteri KPDN saya mahu ekonomi tempatan berkembang dengan cepat, (peniaga) jual dengan harga apapun asalkan mereka menepati (undang-undang), tidak berlakunya pencatutan atau pengambilan untung berlebihan,” katanya.

Loading...
Terkini