comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM sedang dapatkan laporan penuh kemalangan babitkan guru

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika berucap pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sebuah taman tema di Bertam, Kepala Batas. FOTO: NSTP

KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mendapatkan laporan penuh berhubung kemalangan maut membabitkan guru di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi, kata menteri berkaitan Fadhlina Sidek.

“KPM sedang mengambil semua langkah untuk mendapatkan laporan penuh dan punca kejadian, juga kebajikan guru-guru sebahagiannya berada di hospital (sekarang ini) untuk rawatan dan keluarga mereka.

“Saya mewakili KPM mengucapkan takziah kepada keluarga guru yang terlibat dalam kejadian itu dan kami rasa sangat dukacita dengan kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di sebuah taman tema air di Bertam, di sini hari ini.

Tiga maut manakala 36 lagi cedera dalam kemalangan itu yang melibatkan sebuah bas persiaran membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka dengan sebuah treler.

Beliau berkata KPM juga akan menghantar kaunselor ke sekolah itu untuk memberikan sokongan psikososial kepada rakan-rakan guru dan para pelajar.

Terdahulu, Fadhlina turut menyampaikan ucapan takziahnya menerusi Facebook kepada keluarga guru Allahyarhamah Hasnatul Adila Hasan dan pemandu bas yang meninggal dunia dalam nahas tersebut.

“Didoakan juga agar kesemua guru yang cedera akan segera sembuh dan kembali aktif seperti biasa untuk menjalankan amanah sebagai pendidik bangsa. Beberapa orang guru yang terlibat dalam nahas ini juga dilaporkan menerima rawatan rapi akibat kecederaan parah,” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini