comscore
Tumpuan :
Nasional

Kubur suspek serang balai polis diasingkan sebagai peringatan kepada masyarakat

 

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan, kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram hingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh, perlu berjauhan dari kubur orang awam yang lain.

Keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak, dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan hari ini berpendapat, tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain, sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.

Jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.

Jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.

“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek, apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.

“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya,” kata kenyataan berkenaan.

Dalam kejadian serangan pada jam 2.54 pagi Jumaat lalu itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu parah.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian.

Koperal Mohd Hasif Roslan, yang dilaporkan parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Jenazah penyerang insiden berdarah Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal lagi Jumaat lalu, dilaporkan dikebumikan pada jam 12.30 tengah hari di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di sini.

Pengebumian hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang mengawal ketat keadaan sekitar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini