comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kupang Johor disahkan selamat untuk dimakan


JOHOR BAHRU: Jabatan Perikanan Johor mengesahkan kupang di negeri itu selamat untuk dimakan.

Timbalan Pengarahnya, Nur Huda Ibrahim berkata, hasil analisis sampel kupang dan air di empat lokasi penternakan kupang di negeri itu mendapati tahap bacaan biotoksin masih terkawal dan selamat untuk dimakan.

“Hasil analisis sampel kupang dan air laut yang diambil di empat lokasi ternakan kupang terbesar di Johor mendapati kupang Johor adalah selamat untuk dimakan” katanya ketika ditemui Buletin TV3 ketika meninjau ternakan kupang di Selat Tebrau, dekat sini, petang tadi.

Beliau serta pegawai turut mengambil sampel kupang dan air di selat berkenaan untuk membuat pemantauan berkala.

Pada 7 April lalu, jabatan itu telah mengambil sampel kupang dan air di empat daerah dan dihantar ke makmal Biosekuriti Jabatan Perikanan untuk dianalisis dan keputusan yang diterima baru-baru ini mengesahkan kupang Johor bebas daripada pencemaran biotoksin.

Ujarnya lagi, pihak jabatan mengambil langkah pencegahan awal susulan kes pencemaran kupang yang dilaporkan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 4 April lalu.

Katanya, kini pihaknya melakukan pemantauan lebih rapi di Muar, susulan kedudukannya berdekatan Melaka yang turut merekodkan kes pencemaran.

Untuk rekod, Johor adalah pengeluar kupang terbesar di negara ini, dengan pengeluaran lebih dua ribu metrik tan setiap tahun.

Justeru pihaknya akan memastikan penternak kupang di negeri itu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekali gus membendung kupang daripada tercemar.

Pada 4 April lalu, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan memaklumkan sampel air dan kupang di perairan Port Dickson dicemari biotoksin serta alga spesis Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya dan tidak selamat dimakan.

Dua kes direkodkan di mana pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), lima kes dimasukkan ke wad biasa, dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar selepas makan kupang yang dibeli sekitar Port Dickson.

Hasil analisis sampel kupang dan air yang diambil di Sebatu, Melaka pada 3 April lalu, turut menunjukkan kehadiran alga Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini