comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan polis dibuat berhubung dakwaan hapus subsidi diesel

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kira-kira lapan hingga 10 penyebar maklumat dikenal pasti berhubung hantaran palsu di media sosial kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Januari depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, laporan polis telah dibuat dan maklumat telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Kita perlu berhati-hati dengan maklumat di sampai di media sosial lebih-lebih lagi ada tanda-tanda ‘copy and paste’ dari ‘group’ sebelah atau sebaran di aplikasi WhatsApp.

“Saya mohon berhati-hati apabila menerima maklumat seperti ini kerana sebaran palsu dan tidak benar boleh dikenakan tindakan perundangan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) malam tadi menafikan dakwaan di media sosial, yang kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Januari depan.

KPDN dalam kenyataan menegaskan, dakwaan itu tidak benar dan sebaliknya kementerian berkenaan sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem ‘fleet card’ dan Sistem MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi skid tank, yang akan tamat tempoh pada 14 Januari ini.

Menurut kenyataan itu, projek rintis berkenaan sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.

Mengulas lanjut, Fahmi meminta masyarakat untuk menyalurkan aduan mengenai maklumat palsu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) agar tindakan segera dapat diambil sama ada melalui penerbitan penafian atau di media massa.

“Mohon kerjasama orang ramai yang menerima maklumat yang tidak dapat disahkan intipati atau melihat kandungan dipercayai bersifat fitnah, boleh hantar (aduan) secara WhastApp di talian 016-2206262,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini