comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 1,000 penguatkuasa serbu ‘mini Dhaka’

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 anggota dan pegawai polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ di Jalan Silang di sini, hari ini.

Operasi khas bermula jam 11 pagi tadi bagi menyerbu koloni warga asing yang dilihat semakin ‘besar kepala’ membuka perniagaan dengan berlagak seperti warga tempatan.

Pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata dan peralatan khas dilihat mula memecah masuk ke setiap premis membabitkan empat blok di jalan terbabit.

Serbuan dijalankan bagi menangani lambakan warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.

Warga asing kebanyakannya  warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.

Pemeriksaan di salah satu premis mendapati warga asing yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian.

Turut ditemui pelbagai jenis ubatan dipercayai dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan  (KKM).

Bagaimanapun ketika pemeriksaan dilakukan, premis terbabit tidak berpenghuni.

Malah, serbuan turut menemui premis dijadikan bilik sewa dalam keadaan berselerak, kotor dan jijik dipercayai dihuni warga asing.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, lebih 500 warga asing ditahan.

Kesemua mereka dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) untuk proses semakan dokumentasi.

Satu sidang media mengenai operasi bersepadu berkenaan akan dibuat petang ini.

Loading...
Terkini