comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki bersama dua isteri ditahan edar dadah

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM282,464.00 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, di sini, hari ini – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Seorang lelaki yang juga penganggur menjadikan sebuah rumah kampung dekat Jelutong di sini, sebagai pot kegiatan membungkus dan menyimpan dadah sejak enam bulan lalu.

Kegiatan lelaki itu akhirnya dibongkar polis, susulan penahanannya bersama lima ahli keluarga, termasuk dua isterinya, seorang daripadanya wanita warga Indonesia .

Tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di kawasan berhampiran Prai, pada jam 6 petang, 4 Mac lalu.

Berpandukan maklumat suspek, pasukan polis kemudian menyerbu rumahnya di Jelutong, di sini, pada jam 10.40 malam hari yang sama dan menahan lima lagi ahli keluarga.

“Menerusi serbuan itu, polis menahan isterinya, bapa mentua, anak lelaki dan perempuan serta wanita warga Indonesia yang kesemuanya berusia antara 15 hingga 63 tahun.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menemukan ketulan dadah dan serbuk kristal disyaki syabu serta sejumlah pil yaba yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM128,912,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Risikan mendapati suspek turut menjadikan rumahnya sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah bagi dijual di pasaran tempatan sekitar Pulau Pinang.

“Siasatan mendapati seorang daripada ahli keluarga suspek tahu mengenai kegiatan yang dijalankan itu namun kita masih menyiasat sama ada suspek lain yang ditahan turut mengetahuinya.

“Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati seorang daripada mereka iaitu suspek pertama positif dadah dan mempunyai dua rekod lampau berkait jenayah.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 23,010 penagih dadah sekiranya ia berjaya dipasarkan,” katanya lagi.

Menurut Soffian, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan tindakan juga diambil mengikut ADB (Perlucuthakan Harta 1988) yang mana polis turut menyita wang tunai berjumlah RM59,900.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM188, 812.

“Kesemua suspek direman enam hari sehingga 10 Mac ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Loading...
Terkini