comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki kurang siuman ditemukan semula selepas sesat di hutan

KEMAMAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas memasuki sebuah hutan di Kampung Chabang, di sini, pada petang Jumaat lalu, ditemukan petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Masrul Fadilah Mohd Ghani, 49 tahun, ditemukan dalam keadaan keletihan dan kelaparan pada jam 7.00 petang di sebuah tapak pembinaan rel kereta api Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kira-kira empat kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar ketika dihubungi berkata mangsa yang mengalami masalah mental sebelum itu dilihat berjalan kaki berseorangan selepas meninggalkan motosikalnya di persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Kerteh, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Dia kemudian dilaporkan berjalan kaki sejauh kira-kira lima kilometer melalui kampung tersebut sebelum memasuki kawasan hutan yang terletak di hujung kampung.

Khairulhasni berkata operasi yang bersambung pada hari ini melibatkan kekuatan seramai 20 orang anggota bomba dan turut dibantu oleh anggota PDRM serta penduduk kampung.

Operasi pencarian ditumpukan di sekitar kawasan ladang kelapa sawit dan hutan yang dipercayai menjadi laluan mangsa.

Selain daripada itu, pihaknya turut meminta bantuan pihak pengurusan tapak projek pembinaan rel kereta api untuk memberi maklumat sekira terserempak dengan mangsa di kawasan pembinaan.

Sebaik ditemukan, lelaki itu dibawa ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini