comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki mati ditembak dalam kedai  

SUBANG JAYA: Seorang lelaki mati akibat ditembak lelaki bersenjata pistol dalam kejadian di sebuah kedai aksesori telekomunikasi di Bandar Sunway, tengah hari tadi.

Siasatan awal polis mendapati  tiga lelaki telah memasuki premis berkenaan sebelum seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata mangsa berusia 32 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan curi.

“Sekitar jam 1.35 petang tadi semasa anggota polis sedang bertugas di Balai Polis Bandar Sunway, didatangi seorang lelaki yang memberitahu seorang lelaki berbangsa India telah ditembak semasa berada dalam kedai berkenaan.

“Pihak polis yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa terlantar dalam keadaan berlumuran darah akibat kesan tembakan sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Wan Azlan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serdang.

“Pihak Unit Forensik Polis, yang datang ke lokasi kejadian menemui dua kelongsong peluru, satu peluru hidup dan dua swab darah serta sepasang selipar di tempat kejadian.

“Pada masa ini siasatan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta hubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di 019-7506606 bagi membantu siasatan.

Menurut Wan Azlan, identiti pemberi maklumat kes berkenaan akan dirahsiakan.

Loading...
Terkini