comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki maut dihempap pokok tumbang

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut dalam satu kejadian pokok tumbang di hadapan Hospital Sultan Abdul Halim, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa, Karthigesu Subramaniam, 52, dipercayai meninggal dunia selepas kereta Proton Waja yang dinaiki dihempap pokok.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaannya itu. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.”

Terdahulu, pihak JBPM katanya menerima panggilan kejadian pokok tumbang dan mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya ke lokasi.

Jentera bagaimanapun katanya mengalami kesukaran ke lokasi kerana terdapat tiang elektrik yang turut tumbang merentangi jalan raya.

“Terdapat lebih dari 10 pokok tumbang di kawasan sekitar kejadian dan menyebabkan banyak kenderaan mengalami kerosakan dan kemusnahan. Terdapat sekurang-kurangnya enam buah kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang,” katanya.

Operasi menebang dan mengalihkan pokok tumbang dijalankan dengan dibantu agensi lain seperti Majlis Perbandaran Sungai Petani, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Bomba Sukarela berdekatan.

Loading...
Terkini