comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut diserang harimau

Penduduk membantu urusan pengebumian Halim di tanah perkuburan Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang, semalam. – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Lelaki Orang Asli suku kaum Batek, Halim Asin, 27, disahkan maut akibat diserang harimau di Kampung Aring 5, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan lanjut anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati ada kesan tapak harimau di kawasan kejadian.

“Hasil bedah siasat juga mendapati terdapat gigitan pada leher kanan mangsa serta tengkorak tembus akibat gigitan harimau,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Halim dikebumikan mengikut adat suku kaum Batek di Tanah Perkuburan Kampung Aring 5, di sini, jam 5.15 petang semalam.

Mayat dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Gua Musang selepas proses bedah siasat dilakukan pada jam 11 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Aring 5, Mohd Fazli Mamok berkata, mayat terpaksa dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli kerana keadaan jalan rosak dan perlu melalui kawasan ladang.

“Buat pertama kali dalam sejarah, penduduk Orang Asli Batek di kampung ini maut kerana serangan binatang buas dan proses pengebumian dilakukan sedikit berbeza mengikut adat serta dalam keadaan ringkas.

“Mengikut adat, mayat mangsa yang jatuh pokok atau diserang binatang buas tidak dibawa pulang dan akan ditinggalkan di tempat ditemukan selepas dukun melakukan beberapa ritual supaya tidak diganggu binatang buas,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan, di sini semalam.

Katanya, beberapa penduduk terpaksa melapik mayat menggunakan tikar dan memakai sarung tangan semasa melakukan proses pengebumian.

“Malah, mengikut adat kami, mayat juga tidak boleh disentuh kerana dibimbangi terkena badi, di mana orang yang memegangnya akan mati dalam keadaan yang sama seperti mangsa.

“Jadi kami berbincang dengan orang tua di kampung untuk melapik mayat dengan tikar tanpa menyentuh. Kita berdoa semoga jauh daripada ajal dan ‘malapetaka’ yang tidak baik,” katanya.

Terdahulu media melaporkan mayat Halim ditemui tersangkut pada tunggul kayu dalam keadaan separuh bogel di Kuala Sungai Tunggul di Kampung Aring 5, jam 5.10 petang, Khamis lalu.

Halim dijumpai pada hari kedua operasi pencarian oleh pasukan penyelamat dalam keadaan telungkup di dalam air iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Loading...
Terkini