comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut jatuh di kilang tak sempat timang cahaya mata pertama

Nurul Ain (dua dari kiri) bersama ahli keluarga menunjukkan gambar terakhir suaminya yang maut selepas terjatuh ketika melakukan kerja pembersihan di kilang. – FOTO: NSTP

KUALA LANGAT: “Suami berhasrat membeli barangan keperluan bayi kami pada Januari tahun depan.”

Demikian kata Nurul Ain Asri, 22, balu kepada Nur Ahmad Yusoff Muei, 22, yang maut selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah kilang kitar semula di Bandar Mahkota, Banting, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang, Nur Ahmad Yusoff yang bakal menimang cahaya mata pertama pada Mac tahun depan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Banting.

Nurul Ain yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta itu berkata, dia menerima panggilan telefon daripada rakan suaminya yang memaklumkan mengenai kemalangan itu sebelum bergegas ke Hospital Banting.

Katanya suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kecuali mendiamkan diri sebelum kejadian.

“Biasanya sebelum pergi kerja, arwah akan berbual dengan saya namun pagi itu tiada. Dia terus bersiap tetapi saya sempat bersalaman dengannya.

“Arwah memulakan kerja di kilang kitar semula itu pada 12 Disember lalu. Pada masa sama dia juga melakukan kerja kedua iaitu kimpalan.

“Sebelum kejadian, dia ada WhatsApp saya video aqiqah dan kata kalau nak buat mesti ada ‘vendor’ kecil di majlis bayi kami nanti,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Sungai Kelambu, Banting, di sini, hari ini.

Menurut Nurul Ain, suaminya seorang peramah dan disenangi keluarga, rakan dan penduduk kampung selain menjadi tunjang harapan keluarga.

“Ibu arwah mengalami strok sejak setahun lalu manakala abang sulungnya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) mental.

“Saya mengharapkan kejadian yang menimpa suami mendapat keadilan dan perhatian yang sewajarnya dari pihak berwajib,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kanchong Tengah, semalam.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dilaporkan mengeluarkan notis larangan serta-merta terhadap kilang kitar semula terbabit susulan kejadian itu.

Menerusi satu kenyataan, notis larangan itu susulan kegagalan pihak majikan untuk memastikan praktik ke atas sistem kerja selamat sehingga berlaku kemalangan, termasuk arahan larangan kacau ganggu di kawasan kemalangan.

“Dua notis pembaikan turut dikeluarkan atas kegagalan majikan memasang penghadang pada bahagian berputar bagi mesin ‘solid fuel conveyor’ dan kegagalan mengadakan ‘interlocking’ dan sistem ‘lockout-tagout’ (LOTO) pada mesin ‘solid fuel conveyor’.

“Di samping itu, surat arahan juga dikeluarkan kepada majikan bagi menjalankan penaksiran semula terhadap risiko bagi kerja-kerja pembersihan di seluruh kawasan mesin ‘solid fuel conveyor’ ,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini