comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut kemalangan, tak sempat bertunang esok

Bentuk kenderaan pikap Toyota Hilux yang dinaiki Khairulnizam bersama bakal tunangnya, Syifa selepas terbabit kemalangan sehingga menyebabkan Khairulnizam maut. – Foto: NSTP/ihsan Pembaca

JITRA: “Mereka sepatutnya melangsungkan pertunangan esok tapi tak sangka kemalangan itu berlaku menyebabkan bakal tunang anak saudara saya meninggal dunia dalam kemalangan malam tadi,” kata Amri Ali.

Amri, 32, adalah bapa saudara kepada Nurul Syifa Ahmad Shukri, 26, yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 20.7 Lebuh Raya Utara Selatan, selepas lampu isyarat Asun, di sini malam tadi. Bagaimanapun bakal tunang Nurul Syifa, Mohamad Khairulnizam Abdullah, 25, meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku jam 9.40 malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila pasangan itu yang menaiki sebuah pikap Toyota Hilux dipercayai terbabas ke kiri sebelum terlanggar pokok dan terbalik.

Menurut Amri, dia hanya mengetahui kejadian itu pada jam 10.30 malam dan terkejut apabila dimaklumkan oleh rakannya kerana arwah bekerja di bengkel kereta rakannya. Katanya, namun dia tidak menyangka ketika itu mangsa bersama anak saudaranya yang juga anak kakak sulungnya.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Minyak, Pulau Pinang kerana Nurul Syifa bekerja di sana untuk pulang ke rumahnya di Kampung Penia, Mukim Malau, di sini. Saya difahamkan mereka singgah makan sebelum pulang ke rumah dan ketika kejadian hujan lebat.

Segala persiapan untuk majlis pertunangan esok sudah dibuat tetapi tak sangka kejadian ini berlaku namun kami sekeluarga redha,” katanya yang menyifatkan arwah Mohamad Khairulnizam seorang yang baik.

Katanya, sebaik mengetahui berita mengenai kemalangan itu, dia segera ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk melihat keadaan jenazah Mohamad Khairulnizam.

“Nurul Syifa kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana mengalami kecederaan patah paha kanan serta luka di bibir serta telinga,”  katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu dari Pulau Pinang hendak menghala ke Changlun.

Beliau berkata, namun sebaik tiba di tempat kejadian pemandu yang ketika itu sedang bergerak terus di lorong kanan secara tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri lalu terlanggar pada beberapa batang pokok dan terbalik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

Loading...
Terkini