comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki pukul kepala wanita direman esok

KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang memukul kepala seorang wanita berdekatan pusat peranginan Lata Iskandar dekat Tapah petang semalam akan direman esok.

Artikel berkaitan: Lelaki pukul kepala pemandu wanita ditahan polis

Suspek 29 tahun yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang itu ditahan di Serdang, Selangor, petang tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Tapah pagi esok untuk mendapatkan perintah reman.

Beliau berkata lelaki itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah selepas mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan polis mendapati kejadian berlaku pada jam 5.33 petang semalam ketika mangsa berusia 24 tahun bersama adik lelakinya yang berusia 17 tahun dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah.

“Mangsa dikatakan cuba memotong kereta suspek tetapi gagal, sebelum lelaki itu menunjukkan isyarat lucah dan memperlahankan kenderaan sehingga jalan menjadi sesak.”

Terdahulu tular satu video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar dari kereta dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandunya seorang wanita serta memukul kepalanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini