comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Letupan tong gas oksigen punca kereta dinaiki tiga beranak terbakar

 

ALOR SETAR: Dua beranak yang melecur teruk di muka dan badan selepas Proton Wira dinaiki meletup dan terbakar sedang dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa yang cedera, Tuah Omar, 54, dan anaknya, Muhammad Firdaus Syawal Abdullah, 5, dipercayai mengalami kecederaan teruk.

Artikel berkaitan: Kereta meletup dan terbakar, tiga beranak melecur

Isteri mangsa, Noor Azlina Abu Bakar, 34, hanya mengalami cedera ringan di tangan.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka ke lokasi kejadian iaitu sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22 untuk mengisi dua tabung gas oksigen bantuan pernafasan untuk kegunaan sendiri.

“Selesai mengisi gas, mangsa membawa dua tong gas terbabit ke dalam kereta untuk pulang ke Johor iaitu kampung isterinya di Kempas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, secara tiba-tiba kedua-dua gas terbabit dipercayai meletup sehingga mengakibatkan kereta dinaiki terbakar.

Beliau berkata, suami dan anaknya mengalami kecederaan serius di badan sedang mendapat rawatan di zon merah manakala isterinya yang berada di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di zon kuning.

“Namun siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu,” katanya.

Media hari ini melaporkan, tiga beranak melecur selepas kereta dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, jam 12.30 tengah hari.

Kanak-kanak lelaki terbabit melecur 95 peratus manakala bapanya, 80 peratus dan ibunya pula melecur 30 peratus.

Loading...
Terkini