comscore
Tumpuan :
Nasional

Pahang, Sarawak, Kelantan paling terdedah kepada cuaca ekstrim

Foto hiasan

KUALA LUMPUR:Pahang, Sarawak, dan Kelantan adalah antara negeri yang paling terdedah kepada cuaca ekstrim membabitkan panas dan kurang hujan luar biasa, diikuti oleh Sabah dan Perak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) dalam satu kenyataan harini.

KRI berkata, berdasarkan satu kajian yang mengkaji risiko perubahan iklim dalam kalangan pekebun kecil di Malaysia mendapati kawasan-kawasan terbabit amat terdedah kepada perubahan iklim, namun tidak berdaya tahan untuk menghadapinya.

Katanya, di peringkat daerah pula, kajian sudah mengenalpasti bahawa Semporna, Beaufort dan Kota Belud di Sabah selain Sarikei, Sibu, Belaga dan Bintulu di Sarawak adalah antara daerah yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim dan cuaca ekstrim.

“Selain itu,Gua Musang dan Pasir Mas di Kelantan, Temerloh, Cameron Highlands, Lipis, Kuantan, Pekan, Jerantut, dan Bera di Pahang, dan Hulu Perak, Kuala Kangsar serta Perak Tengah di Perak juga antara daerah yang terdedah dengan keadaan cuaca sama.

“Keadaan ini boleh membawa risiko kepada pendapatan pekebun kecil dan status keterjaminan makanan negara,” katanya menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KRI berkata, walaupun cuaca ekstrim ini tidak dapat dielakkan, tindakan perlu diambil dalam meningkatkan daya tahan cuaca kepada pekebun kecil.

“Satu pengajaran penting yang perlu diberi keutamaan ialah walaupun kita tidak dapat mengelak berlakunya cuaca ekstrim, kita boleh meningkatkan daya tahan cuaca (Climate Resilience) pekebun kecil.

“Kemiskinan, sistem komunikasi dan infrastruktur yang lemah, kekurangan varieti tanaman tahan iklim, dan ketiadaan insurans, adalah antara faktor-faktor yang perlu diberi perhatian untuk meningkatkan daya tahan pekebun kecil terhadap perubahan iklim,” katanya.

Dalam pada itu, penyelidik KRI mencadangkan agar tindakan diambil oleh pihak bertanggungjawab dengan meningkatkan usaha ke arah ketahanan dan adaptasi perubahan iklim terutamanya di Kelantan, Pahang, dan Sarawak dan daerah-daerah yang berkategori paling terdedah.

“Ini termasuklah menyediakan insentif latihan persediaan perubahan iklim, meningkatkan sokongan kewangan dan teknologi, meningkatkan akses kepada pendidikan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan pertanian yang berketahanan iklim (climate resilience).

“Selain itu, memperbaiki faktor-faktor sosioekonomi di negeri-negeri berisiko tinggi, terutamanya dari aspek pendapatan isi rumah dan memperkenalkan pendapatan sampingan selain pertanian.

“Di peringkat nasional pula, usaha penyelidikan berkenaan daya tahan cuaca bagi sektor pertanian seperti penyelidikan variati tanaman baru, teknologi pertanian dan amalan yang mampan pertanian adalah sangat penting,”katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini