comscore
Tumpuan :
Nasional

Lima lagi suspek ditahan kes bunuh, tanam mayat belakang rumah

PETALING JAYA: Polis menahan lima lagi suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditanam di belakang rumah di Sungai Choh, Rawang, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata hasil bedah siasat mendapati ada kesan cedera luka dan lebam di kepala dan seluruh badan mangsa.

Tambah beliau, dengan tangkapan terbaharu itu, jumlah yang ditahan kini seramai lapan orang.

Jelasnya, tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki ditahan di apartmen Desa Aman Puri pada jam 4.40 petang semalam.

Tangkapan seterusnya membabitkan seorang lelaki di Bandar Puncak Alam kira-kira jam 6.15 petang semalam manakala seorang lagi lelaki ditahan di Sungai Choh jam 11 malam semalam.

Kesemua suspek berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan katanya juga menunjukkan teman wanita mangsa didapati tiada kaitan dengan kes berkenaan dan dakwaan kononnya kes melibatkan video bogel juga tidak benar.

Menurut Superintendan Noor Ariffin lagi, setakat ini punca kematian mangsa belum disahkan sementara menunggu ujian makmal.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mayat seorang lelaki ditemukan ditanam di dalam lubang di belukar belakang rumahnya di Sungai Choh.

Motif kejadian dipercayai berpunca dari perselisihan faham antara mangsa dan salah seorang suspek.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini