comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mayat ditanam dalam lubang, 3 suspek ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan tiga suspek susulan penemuan mayat seorang lelaki ditanam di dalam sebuah lubang di belukar di Sungai Choh, Rawang, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata perbuatan suspek terbongkar selepas jiran terdengar perbualan dua individu untuk meminta bantuan menanam mayat.

”Pada 23/12/2023 jam 11.25 malam pihak polis telah menerima pengaduan daripada satu perempuan warga tempatan berumur 27 tahun mengatakan pada jam lebih kurang 11 pagi, semasa di rumah pengadu telah terdengar bunyi pergaduhan di rumah jiran.

”Pada jam 5 petang, pengadu terdengar perbualan antara suami dan abang ipar jiran meminta tolong membantu menanam satu mayat,” katanya.

Hasil siasatan polis menemukan mayat seorang lelaki disyaki warga tempatan tanpa pengenalan diri yang ditanam di dalam lubang.
Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 33 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan itu.

Motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan salah seorang suspek.

Tambah Noor Ariffin, siasatan masih dijalankan dan usaha mengesan beberapa individu disyaki terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini