comscore
Tumpuan :
Nasional

Lima produk kosmetik dilarang dijual, ada racun berjadual

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Notifikasi lima produk kosmetik dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk tersebut adalah Skinsister Babyskin Treatment Cream dan Sahaana Fairness Cream yang dikesan mengandungi merkuri serta Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum yang mengandungi asid azelaik.

Selain itu, produk yang terlibat adalah Glowing Night Cream yang terdapat hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate serta Glowing Herba Night Cream yang dikenal pasti ada merkuri dan betamethasone 17-valerate.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

“Produk yang mengandungi asid azelaik, hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, asid azelaik boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, kegatalan, kesan kemerahan, kulit mengelupas dan perubahan warna kulit; manakala bahagian kulit yang disapu dengan produk mengandungi tretinoin menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Sementara itu, hydroquinone akan mengakibatkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Betamethasone 17-valerate pula menjadikan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang awam untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Loading...
Terkini