comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan khas pandemik hadapi Penyakit X

Penyakit X dijangka mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Penyediaan peruntukan khas pandemik penting ke arah pemantapan kesiapsiagaan menghadapi Penyakit X yang belum diketahui sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah itu selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di samping penyediaan pelan pandemik komprehensif dan perluasan kempen vaksinasi.

“Begitu juga dengan pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-langkah kawalan dan kerjasama antarabangsa.

“Selain itu, pendekatan ‘One Health’ yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin,” jelasnya.

Penyakit X adalah istilah digunakan WHO pada 2018 merujuk kepada sejenis patogen yang tidak diketahui, namun ia berpotensi menyebabkan wabak di seluruh dunia.

Istilah berkenaan diperkenalkan bagi menggalakkan peralihan tumpuan penyelidikan dari strain virus tunggal ke arah pengkelasan virus lebih menyeluruh, seterusnya memperkukuh kapasiti global dalam kesiapsiagaan menghadapi patogen yang belum dapat dikenal pasti itu.

Walaupun ciri-ciri dan waktu berlaku penyakit terbabit belum diketahui, pakar kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya.

Penyakit X dijangka mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola.

Penularannya boleh berasal dari pelbagai sumber termasuk secara zoonotik iaitu jangkitan daripada haiwan kepada manusia.

Kadar penyebaran penyakit itu juga akan semakin meningkat seiring peningkatan kontak manusia dan haiwan, ditambah pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi berkata, penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman, menguruskan berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga boleh memantapkan kesiapsiagaan terhadap Penyakit X.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersiap siaga dan berwaspada terhadap kemungkinan kemunculan Penyakit X berdasarkan pengalaman lalu dalam menangani penyakit seperti COVID-19, virus Nipah, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), dan MERS-CoV.

Sistem kesihatan negara juga sentiasa diperkukuh sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman kesihatan yang mungkin berlaku.

“Walaupun kemungkinan berlakunya Penyakit X perlu diberi perhatian, namun kebimbangan berlebihan perlu dielakkan.

“Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini