comscore
Tumpuan :
Nasional

Lima siswa terbabit nahas bas persiaran, lori balak

Oleh Ifara Wahid

GERIK: Lima siswa cedera ringan dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan lori membawa muatan kayu balak di Lebuhraya Timur Barat, berdekatan Tasik Banding dekat sini sekitar jam 1.40 pagi.

Ketika kejadian, bas persiaran terbabit sedang menghala ke Pulau Pinang.

Menurut salah seorang mangsa yang merupakan siswa di salah sebuah Institut Pengajian Awam (IPTA) Pulau Pinang, Muhammad Azim Abdul Halim, 24, bas tersebut mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan.

“Kerosakan di bahagian hadapan bas sangat teruk sehingga membuatkan kami semua terpaksa keluar dari bas melalui pintu pemandu.

“Abang pemandu tersebut mengalami kecederaan di bahagian lutut,” kata Azim

Ketika kejadian, 45 penumpang berada di dalam bas berkenaan termasuklah Azim dan empat rakan-rakannya dari universiti sama.

“Alhamdulillah kami semua hanya mengalami kecederaan ringan sahaja walaupun bahagian hadapan bas mengalami kerosakan yang sangat teruk.

“Saya hanya terhantuk pada kerusi di hadapan saya sehingga hidung berdarah namun tiada apa-apa yang perlu dicemaskan, Alhamdulillah,” tambah Azim.

Menurut salah seorang lagi mangsa, Muhammad Izwan Ariffin, 24, beliau sangat terkejut mendengar bunyi yang sangat kuat apabila bas yang dinaikinya melanggar sebuah lori balak pada ketika itu.

“Pada ketika itu saya sangat terkejut dan trauma ketika mendengar bunyi pelanggaran yang kuat kerana perut saya baru sahaja dibedah tempoh hari atas kecederaan tertentu jadi saya sangat berjaga-jagalah dengan keadaan perut saya.

“Bas tersebut juga hilang kawalan seketika sehingga membuatkan saya berfikir bas ini akan jatuh ke dalam gaung dan semua penumpang termasuk saya tidak akan selamat,” kata Izwan.

Tambahnya, sekitar jam 6 pagi sebuah bas daripada syarikat sama tiba untuk membawa semua penumpang ke Pulau Pinang dan sampai dengan selamat.

Loading...
Terkini