comscore
Tumpuan :
Info

Lorong NKVE secara berperingkat, beri laluan kerja naik taraf jambatan KTMB

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup lorong pada waktu malam secara berperingkat di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Kilometer (KM)11.25 antara Persimpangan Shah Alam dan Subang mulai 30 Mac hingga awal November ini.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata penutupan lorong bermula jam 10 malam hingga 5 pagi itu adalah susulan daripada kerja-kerja menaik taraf Jambatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang merentangi NKVE.

Katanya, ia akan membabitkan laluan di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam.

“Bagaimanapun semua lorong akan dibuka semula kepada pengguna lebuh raya mulai jam 5 pagi bagi memastikan tiada gangguan terhadap aliran trafik terutama pada waktu puncak.

“Selain itu laluan kontra turut dijangka akan diaktifkan di lokasi berkenaan bermula 25 April hingga 7 Jun dan 5 hingga 15 Julai.

“Ini memandangkan, dianggarkan kira-kira 500,000 kenderaan akan menggunakan laluan berkenaan setiap hari pada waktu siang dan hanya kira-kira 50,000 kenderaan pada waktu malam.

“Jadi semua kerja akan dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan kesesakan luar biasa,” katanya pada sesi taklimat mengenai kerja menaik taraf jambatan KTMB itu, di sini, hari ini.

Kerja-kerja menaik taraf yang dijangka mengambil masa selama tujuh bulan itu turut mendapat sokongan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan KTMB.

Mohd Yusuf berkata, kerja menaik taraf jambatan KTMB itu dilakukan berikutan ketinggiannya tidak mencapai tahap standard iaitu hanya 4.82 meter.

“Jadi PLUS akan menaik taraf jambatan kepada setinggi 5.4 meter bagi memastikan keselamatan kenderaan yang melalui NKVE ini.

“Pengguna lebuh raya juga tidak perlu bimbang kerana dari faktor keselamatan, pihak PLUS sentiasa akan memastikan ia dipatuhi,” katanya.

Di tanya mengenai tempoh ketika musim perayaan, beliau berkata PLUS tidak akan melakukan sebarang kerja-kerja menaik taraf dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 hari pada waktu berkenaan.

“Malah PLUS juga akan menghentikan operasi sekiranya ada waktu-waktu tertentu seperti cuti umum, mengambil kira keselesaan pengguna lebuh raya juga.

“Justeru, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang jadual perjalanan dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

Loading...
Terkini