comscore
Tumpuan :
Nasional

LRT Laluan Ampang alami kelewatan, penjajaran landasan bengkok

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan LRT Laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, pemerhatian awal menunjukkan ini adalah disebabkan kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan yang terletak bersebelahan.

Katanya, jurutera Rapid Rail sedang berada di kawasan terbabit bagi menilai keadaan bersama-sama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan.

“Atas faktor keselamatan, Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan di antara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan.

“Perkhidmatan LRT Ampang akan dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan dan ini akan menyebabkan kelewatan perkhidmatan sembilan minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan.

Tren-tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat, manakala tren dari Sentul Timur

akan berpatah balik di Stesen Bandaraya, manakala perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik di antara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.

Perkhidmatan bas alternatif diaktifkan bagi menampung penumpang-penumpang di Stesen Bandaraya ke Plaza Rakyat, Stesen Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya, Stesen Sentul Timur ke Stesen Bandaraya dan Stesen Bandaraya ke Sentul Timur.

“Anggota Polis Bantuan juga dikerah ke stesen-stesen utama bagi mengawal kesesakan.

“Rapid Rail memohon maaf diatas kelewatan ini dan kesulitan yang dialami penumpang,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini