comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

MAB mahu wujudkan peluang pekerjaan bagi tukang urut buta

Tenaga pengajar, Fadzillah Sahmat menunjukkan demonstrasi urutan kepada Ketua Cawangan Jemaah Doktor dan Pandangan Perubatan Perkeso, Dr Edrin Nazri Abdul Rais pada Majlis Perasmian Buku Braille “Physical Health Therapy” Edisi yang Pertama di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: 82 peserta daripada Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) berjaya menamatkan Kursus Terapi Kesihatan Fizikal Tahap Satu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas berkata ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan tukang urut buta yang terlibat sebagai peserta.

“Adalah satu keperluan bagi setiap tukang urut dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang urutan sukan bagi memberi peluang yang lebih luas kepada mereka,” katanya.

Menurut George, pendedahan dan latihan berstruktur yang disediakan pakar terbabit menerusi modul yang digunakan dapat membantu peserta mengaplikasikan teknik urutan dengan segera dan berkesan.

Terdahulu, George memaklumkan MAB dengan kerjasama Fakulti Sains dan Rekreasi Sukan Hospital Barakah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menerbitkan sebuah buku yang mengandungi modul lengkap kursus terapi fizikal yang ditranskripsikan ke dalam format Braille oleh MAB.

Ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Menjelaskan lebih lanjut, George berkata sebanyak tiga siri Kursus Urut Sukan Tahap Satu dan Dua untuk terapi kesihatan fizikal profesional telah dirancang untuk dianjurkan MAB tahun ini dengan sasaran memperakui 50 lagi tukang urut cacat penglihatan.

Pengajar Bahasa Inggeris, Nawal Khairil Anwar bergambar bersama buku braille pada Majlis Perasmian Buku Braille “Physical Health Therapy” Edisi Pertama di Kompleks MAB, BrickfieldS, Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: NSTP

Sebelum ini jelasnya, seramai 82 individu telah menamatkan kursus tahap 1, manakala 16 meneruskan latihan lanjutan dalam kursus yang sama.

Tambah George, tukang urut atau ahli terapi mempunyai prospek pekerjaan yang tinggi, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.

“Ini kerana negara lain mengiktiraf pekerja mahir tempatan sebagai berpengetahuan tinggi dan berkemahiran dalam industri kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Jemaah Doktor dan Pandangan Perubatan Perkeso, Dr Edrin Nazri Abdul Rasib berkata pusat pemulihan Perkeso akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada tukang urut buta.

“Apa yang saya dapat lihat, Kursus Terapi Kesihatan Fizikal ini dapat mengisi kekosongan dan memberi peluang kepada ahli terapi profesional untuk berada pada tahap kemahiran mereka diperlukan di pusat pemulihan,” katanya ketika membacakan ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ujar Dr Edrin, ini juga selaras pembinaan pusat pemulihan Perkeso di Perak, Terengganu dan Sarawak.

Ketua Cawangan Jemaah Doktor dan Pandangan Perubatan Perkeso, Dr Edrin Nazri Abdul Rais menyerahkan buku braille kepada Pengerusi Rehabilitasi, Latihan, ICT dan Penyelidikan MAB, Dr Wong Huey Siew (tiga dari kiri) ketika merasmikan Majlis Perasmian Buku Braille “Physical Health Therapy” Edisi yang Pertama di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: NSTP

Pada masa sama beliau juga mendedahkan hampir 90 peratus tukang urut cacat penglihatan memilih untuk bekerja sendiri atau secara bebas.

“Terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada pilihan ini termasuk jangkaan pendapatan agak tinggi sehingga lebih RM6,000 sebulan,” katanya.

Jelas Dr Edrin, Perkeso menyeru lebih ramai pekerja bebas dan pekerja gig untuk menyumbang sebagai rangkaian perlindungan pilihan.

Melaluinya, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk Geran Padanan Caruman SKSPS, yang boleh memanfaatkan 500,000 individu yang bekerja sendiri, dengan 90 peratus insentif caruman kerajaan.

“Inisiatif ini dapat meringankan beban pencarum dengan hanya membayar baki 10 peratus sahaja iaitu RM23.30 untuk perlindungan selama 365 hari atau bersamaan enam sen sehari,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini