comscore
Tumpuan :
Nasional

Mahkamah tolak permohonan BERSATU kosongkan 4 kerusi parlimen Sabah

KUALA LUMPUR: Permohonan BERSATU untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen di Sabah yang mengumumkan keluar parti itu ditolak Mahkamah Tinggi di sini.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Amarjeet Singh, hari ini.

BERSATU memohon supaya Johari mengisytiharkan ada kekosongan kerusi Parlimen disandang Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang), yang masih kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu, pada 17 April lalu.

BERSATU memohon perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu, yang menyatakan semua responden sudah memberi penjelasan dan mengesahkan tiada berlaku kekosongan kerusi Parlimen terbabit berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan BERSATU.

Parti berkenaan juga memohon satu deklarasi bahawa empat Ahli Parlimen itu berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen terbabit.

Pada 29 Ogos lalu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Ahmad Hanir Hambaly, berkata permohonan BERSATU perlu ditolak kerana tidak tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, kesahan apa-apa prosiding dalam mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Peguam bela Kiandee dan Muhammad Suhaimi, Tan Sri Azhar Azizan Harun pula dilaporkan berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman perlu didengar kerana ia bukan suatu yang remeh serta menyusahkan.

Beliau mendakwa Johari melampaui bidang kuasanya kerana tiada kuasa untuk mentafsir Perlembagaan BERSATU atau membuat penentuan bila keanggotaan empat Ahli Parlimen itu dalam BERSATU terhenti.

Laporan lanjut menyusul

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini