comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Tiada kekosongan 4 kerusi Parlimen Sabah

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, memutuskan tidak berlaku kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli BERSATU Sabah atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

Perkara itu dimaklumkan seorang daripada Ahli Parlimen terbabit, Datuk Matbali Musah (Sipitang) yang mengesahkan pihaknya telah menerima salinan surat daripada Johari yang ditujukan kepada Naib Presiden BERSATU merangkap Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berhubung keputusan dalam isu kedudukan empat wakil rakyat berkenaan.

Beliau berkata, surat itu antara lain menjelaskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi mengikut Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menerima salinan surat daripada Speaker Dewan Rakyat yang dihantar kepada YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang menyatakan dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya, di sini, hari ini.

Pada 29 Disember lalu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran melalui satu kenyataan berkata, BERSATU sudah menghantar notis kepada Johari untuk memastikan berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Ia susulan dakwaan bahawa empat Ahli Parlimen itu melakukan kesalahan melompat parti berdasarkan undang-undang melarang Ahli Parlimen bertukar parti, apabila bertindak keluar BERSATU Sabah dan menjadi ahli langsung dalam GRS yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain kerusi Parlimen Sipitang, tiga lagi ialah Papar yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Batu Sapi (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan); dan Ranau (Datuk Jonathan Yasin).

Dalam maklum balasnya sebelum ini, Johari mengesahkan ada menerima notis itu daripada BERSATU dan menetapkan keputusan akan dibuat selepas 21 hari dari tarikh notis berkenaan dihantar.

Sementara itu, Khairul Firdaus ketika dihubungi hanya meminta didoakan perkara baik-baik berhubung keputusan diambil Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam isu berkenaan.

Sebelum ini, Ronald menjelaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan keempat-empat Ahli Parlimen itu adalah calon bertanding sebagai ahli BERSATU pada PRU-15 dengan merujuk kepada surat bertarikh 3 November daripada Setiausaha BERSATU Sabah.

“Telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan membabitkan empat daripada ahlinya yang telah bertanding dalam PRU15 sebagai ahli BERSATU dengan menggunakan logo GRS.

“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti BERSATU,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Loading...
Terkini