comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Russia kukuhkan kerjasama pelbagai bidang pengajian tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Russia, Valery Falkov, pada mesyuarat kedua Suruhanjaya Bersama Russia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di Kuala Lumpur, semalam. FOTO: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin /Facebook

KUALA LUMPUR: Lapan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan institusi pengajian tinggi dimeterai Malaysia dan Russia bagi mengukuh dan meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MoU itu termasuk mewujudkan makmal kanta, pergerakan pelajar, makmal satelit, ijazah berganda, geran padanan, program akademik dan penyelidikan bersama, peningkatan kurikulum pembelajaran, serta latihan dan pemindahan teknologi.

Beliau berkata, makmal kanta antara National Research University Higher School of Economics (HSE) di St Petersburg dan Azman Hashim International Business School (AHIBS) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dilancarkan sebelum ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Russia, Valery Falkov, dalam pertemuan semalam. FOTO: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin / Facebook

“Kini kita mempunyai makmal antara AHIBS, UTM dan Laboratory for Reputation Management in Education (RepLab), HSE yang membabitkan kajian dan pembangunan keusahawanan sosial di kedua-dua negara (Malaysia dan Russia) menerusi analisis rentas negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran MoU antara pelbagai institusi pengajian tinggi Malaysia dan Russia bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Russia, Valery Falkov, pada Mesyuarat kedua Suruhanjaya Bersama Russia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama pendidikan itu turut meliputi usaha mempromosi bahasa Melayu di Russia dan sebaliknya, dengan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perantara dalam beberapa persidangan dan seminar di Moscow dan St Petersburg.

“Kerjasama pendidikan ini akan meluaskan peluang pendidikan dan menggalakkan pertukaran budaya serta pembelajaran bahasa, dengan penekanan dalam mempromosikan bahasa Russia di Malaysia dan bahasa Melayu di Russia,” katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju mengiktiraf semua ijazah diberikan pihak berkuasa Russia yang berkaitan atau Perkhidmatan Persekutuan bagi Penyeliaan Pendidikan dan Sains.

“Pengiktirafan bagi program profesional seperti dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan, kejuruteraan dan seni bina pula tertakluk kepada penerimaan oleh badan profesional berkaitan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Valery berkata, kedua-dua negara mengalu-alukan perkembangan lanjut bagi kerjasama dinamik itu yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat serta ekonomi Russia dan Malaysia.

“Saya harap kerjasama ini akan memberi impak besar, selain mewujudkan peluang bagi komuniti perniagaan kedua-dua negara serta memudahkan pertukaran pengetahuan dan teknologi,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini