comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia sentiasa konsisten menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Malaysia sentiasa konsisten dalam menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan, mengajak semua rakyat untuk memperkukuh keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) serta berpegang teguh kepada nilai-nilai rahmah dan ihsan.

Pihaknya turut melahirkan rasa berdukacita dengan kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam.

“​Semua pihak dipohon supaya bertenang dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia untuk membuat siasatan terperinci.

“Mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian jenayah ini perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

​”Mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Almarhum Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terlibat dengan kejadian yang amat menyedihkan ini.

“Semoga seluruh ahli keluarga bersabar serta dikurnia ketabahan yang tinggi berhadapan dengan ujian berat ini.” tambahnya.

Dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor jam 2.45 pagi semalam, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek yang berumur 21 tahun.

Seorang lagi anggota pasukan keselamatan Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan, kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan berada dalam keadaan stabil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini