comscore
Tumpuan :
Nasional

Malim gunung maut selepas tiba di puncak gunung

Malim gunung maut selepas tidak sedarkan diri ketika tiba di puncak Gunung Hitam, di Hulu Langat hari ini. Foto ihsan BBP Bandar Tun Hussein Onn.

HULU LANGAT: Seorang malim gunung maut selepas tidak sedarkan diri ketika sampai di puncak Gunung Hitam, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku jam 11 pagi tadi membabitkan mangsa dikenali sebagai Norfazli Abd Aziz, 57.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.48 pagi.

Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussien Onn bersama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pasukan itu yang kemudiannya dipecahkan kepada tiga kumpulan berjaya menemui mangsa selepas mengambil masa selama empat jam untuk tiba di puncak gunung.

Menurut Wan Md Razali, pasukan perubatan yang bersama-sama pasukan penyelamat kemudian melakukan rawatan kecemasan kepada mangsa.

“Keadaan mangsa masih bernafas namun tidak sedarkan diri. Usaha bagi membawa mangsa keluar dari kawasan dilakukan. Namun ketika usaha membawa turun dilakukan mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Katanya, operasi membawa turun mangsa diteruskan sehingga mangsa diserahkan kepada KKM untuk tindakkan susulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini