comscore
Tumpuan :
Nasional

Mandat rakyat jadi asas perkasakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Mandat rakyat yang diterjemah menerusi keputusan pilihan raya negeri (PRN) akan dijadikan sebagai asas kepada kebersamaan untuk memperkasakan kerjasama semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia dapat memastikan Kerajaan Perpaduan terus utuh untuk mentadbir negara bagi tempoh lima tahun mendatang.

Timbalan Perdana Menteri berkata parti itu dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan PRN di enam negeri itu yang mengekalkan penguasaan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“BN mengucapkan tahniah buat calon-calon yang telah berjaya dan terimalah amanah ini untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

“Kepada seluruh rakyat yang telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah mengundi sekaligus menyuburkan proses demokrasi dalam negara, ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen dan keprihatinan demi menentukan masa depan yang lebih baik buat negeri dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli parti, jentera dan sukarelawan yang sudah bertungkus lumus membantu BN sepanjang tempoh kempen PRN.

Terdahulu Ahmad Zahid mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke “war room” PH-BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi mengikuti pengumuman keputusan rasmi PRN.

Loading...
Terkini