comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir Johor meningkat ke 1,484

Jalan Masuk Tenggaroh Timur-Tanjung Leman, Mersing ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan berikutan berarus deras serta merbahaya kepada dilalui pengguna. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir Johor meningkat kepada 1,484 orang daripada 385 keluarga, di empat daerah terjejas yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

Ia berbanding hanya 1,024 orang daripada 252 keluarga, setakat jam 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kota Tinggi kini menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat.

Jumlah mangsa Kota Tinggi terus meningkat kepada 723 mangsa banjir daripada 180 keluarga kini yang ditempatkan di enam PPS di daerah itu.

“Mangsa banjir di Johor Bahru turut merekodkan pertambahan kepada 420 penduduk daripada 111 keluarga di empat PPS.

“Mersing turut merekodkan peningkatan mangsa kepada 271 orang daripada 71 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan dan SK Tenglu.

“Manakala Kluang juga turut meningkat kepada 70 mangsa daripada 23 keluarga yang ditempatkan di Dewan MPK Kahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MetMalaysia hari ini mengekalkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor hingga Ahad ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk itu membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku sehingga Ahad membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini