comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa dibelasah, dinoda bapa akan ditempatkan di institusi JKM

Tangkap layar video tular mangsa dipukul bapanya selepas mendedahkan rahsia dia pernah dirogol suspek.

SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan sudah bertemu dengan waris kepada remaja perempuan yang dikatakan dirogol dan dibelasah bapanya, bagi membincangkan penempatan mangsa.

Pada masa sama, JKM Negeri Sembilan mengesahkan bahawa remaja berusia 17 tahun itu kini di bawah perlindungan pihaknya.

Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata pertemuan dengan ibu kandung remaja itu bagi menentukan kesesuaian penempatan remaja berkenaan selepas ini dan tindakan yang dilakukan pelindung mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

“Sebelum ini kami mengesan waris kepada mangsa bagi menentukan masa depannya sebelum ibu kandungnya hadir di hospital pada minggu lalu,” katanya.

Tambah Rosnah, berdasarkan hasil temubual dan situasi semasa ibu mangsa, pihaknya mendapati wanita itu tidak mampu untuk memberikan penjagaan yang sewajarnya kepada mangsa.

Tambah Rosnah, ibu mangsa berusia 40-an dan tinggal di Seremban.

Beliau berkata, remaja itu akan dirujuk kepada Pegawai Kaunselor di tempat selamat iaitu di bawah institusi JKM bagi membantu mangsa mengatasi trauma yang dihadapi.

“Ketika ini mangsa masih lagi dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di Kuala Pilah. Dia kini berada dalam keadaan stabil dan tidak menunjukkan kelakuan agresif.”

“Selepas mendapat maklum balas daripada ibu kandungnya, kami dalam siasatan untuk penempatan mangsa. Pelindung akan mohon perintah jagaan sementara terlebih dahulu kepada mahkamah,” katanya.

Rosnah berkata, pelindung dari Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKMD) Rembau, sudah hadir menyantuni remaja itu dan perancangan awal adalah untuk menempatkannya di institusi tempat selamat bagi pemeliharaan dan perlindungan Kanak-Kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Selain itu, kami juga akan memastikan remaja ini menyambung persekolahan walau di mana penempatannya kelak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan terpaksa dikejarkan ke hospital pada 23 Januari lalu selepas parah dibelasah bapanya kerana membongkar rahsia dia dirogol suspek di sebuah rumah di Kampung Kendong, Baru, Kota, di sini.

Menurut mangsa, bapanya melakukan perbuatan itu pada November 2023 ketika teman wanita bapanya tidak di rumah berkenaan.

Sementara itu, siasatan awal mendapati suspek dan ibu mangsa bercerai sejak mangsa berusia empat tahun.

Mangsa yang sebelum ini tinggal bersama neneknya berpindah ke rumah suspek yang juga bapanya itu sejak Jun 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini