comscore
Tumpuan :
Nasional

Maritim Malaysia jumpa dadah bernilai RM120,000 terapung di laut

Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang menjumpai empat bungkusan terapung dipercayai dadah bernilai RM120,000 di perairan berhampiran Muka Head, Teluk Bahang tengah malam tadi. FOTO: Ihsan Maritim Malaysia

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menjumpai empat bungkusan hablur kristal dipercayai dadah terapung di perairan negeri ini tengah malam tadi.

Dadah terbabit ditemui ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan rutin di sekitar perairan 2.5 batu nautika Barat Muka Head, Teluk Bahang pada jam 12.40 tengah malam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata terdahulu bot peronda menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dadah di perairan berkenaan.

Katanya, pasukan bersama bot penguatkuasa ke lokasi aduan dan mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dengan beberapa bungkusan bersinar dibuang ke laut.

FOTO: Ihsan Maritim Malaysia

“Pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Suspek bersama bot terbabit bagaimanapun berjaya melarikan diri dan terus hilang daripada pengesanan radar.

Mengulas lanjut Razali berkata kesemua empat bungkusan bersinar itu dipercayai dadah itu dianggarkan bernilai RM120,000.

Mereka yang terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Razali, penemuan itu adalah hasil koordinasi Op Bersepadu yang dijalankan Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang kebelakangan ini.

Beliau memaklumkan Maritim Malaysia berharap penyaluran maklumat seperti ini dapat diteruskan bagi menangani kegiatan penyeludupan dan pembasmian penyalahgunaan dadah di perairan Negeri Pulau Pinang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini