comscore
Tumpuan :
Nasional

Maritim Malaysia tahan kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kargo yang berlabuh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 17.1 batu nautika barat Sekinchan sekitar 4.10 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu adalah hasil maklumat Area Control Centre (ACC) Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA) Klang yang mengesan kedudukan kapal mencurigakan kira-kira jam 2.30 petang.

“Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kargo itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.”

“Bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal kargo yang tertera tanda nama TAO BRAVE pada badan kapal,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebook Maritim Malaysia.

Kapal itu difahamkan dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Pelabuhan Klang bersama 22 kru lelaki termasuk nakhoda berusia di antara 27 hingga 62 tahun, kesemuanya warga Filipina yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, perintah penahanan ke atas kapal terbabit telah dikeluarkan dan kapten bersama kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan kepten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.”

“Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Negeri Selangor sentiasa terpelihara,” katanya.

Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas.

Loading...
Terkini