comscore
Tumpuan :
Nasional

Maritim rekod RM7.3 juta hasil rampasan menerusi Op Khas Pagar Laut

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

SUBANG: Sejumlah RM7.3 juta nilai hasil rampasan daripada 18 kes tangkapan berjaya direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Maritim Malaysia melalui Op Pagar Laut yang dijalankan sejak 9 April lalu.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, rampasan membabitkan kesalahan penyeludupan kontraban, pencerobohan bot nelayan asing (BNA) dan penyeludupan barang kawalan minyak masak.

“Op pagar laut telah menghasilkan beberapa tangkapan profil tinggi, 7 tangkapan yang kita nilaikan tinggi iaitu melibatkan 3 kes tangkapan cubaan seludup masuk rokok, satu kes cubaan seludup masuk pati, dan cubaan merompak dan dua kes bot nelayan asing indonesia dan 1 kes bot kargo yang didapati cuba membawa keluar barang kawalan melebihi kuota yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan udara sempena Op Pagar Laut di sekitar kawasan perairan Selangor, siang tadi.

Pihaknya juga memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

Selain maklumat perisikan, dan radar SWASLA, Maritim Malaysia juga menerima maklumat awam yang menyumbang kepada kejayaan kes tangkapan operasi ini.

Oleh itu, orang ramai khususnya masyarakat maritim diseru menjadi mata dan telinga kepada Maritim Malaysia agar aktiviti jenayah maritim dapat dibanteras secara total.

Untuk rekod Op Pagar Laut kali kelapan ini telah dilaksanakan sejak 2016, membabitkan semua Maritim Negeri termasuk Zon Maritim.

Pada tahun ini, Op Pagar Laut dilaksanakan bermula 9 April lalu diperkasa dengan 800 pegawai dan anggota termasuk 45 buah pelbagai aset agensi.

Loading...
Terkini