comscore
Tumpuan :
Nasional

Sistem tunggal Maritim Malaysia kurang birokrasi, tingkat kecekapan pelabuhan

Foto NSTP – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sistem Tunggal Maritim Malaysia (MMWS) akan dibangunkan dan diguna pakai menjelang 1 Januari tahun depan dalam usaha meningkatkan kecekapan pelabuhan negara, selain mengurangkan birokrasi sekaligus mengurangkan kos syarikat logistik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebagai permulaan, sistem itu akan dibangunkan oleh Lembaga Pelabuhan Klang dan Lembaga Pelabuhan Johor serta diaplikasikan di kedua-dua lembaga pelabuhan sebagai projek rintis menjelang suku keempat tahun ini.

“Ini (MMWS) adalah inisiatif utama kerana kapal yang berlabuh di negara kita, mereka sekurang-kurangnya perlu berurusan dan menghantar 12 borang kepada 12 agensi kerajaan berlainan secara manual menggunakan dokumen kertas.

“Sebelum ini ada usaha untuk membangunkan uCustoms di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) walaupun sudah pelbagai peruntukan dibelanjakan tetapi sehingga kini uCustoms belum dapat dibangunkan kerana belum dapat integrasi dengan semua agensi kerajaan dan tidak dapat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil 1/2023, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pembangunan MMWS juga selaras dengan ketetapan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bahawa semua negara di bawah IMO perlu membina satu sistem tunggal maritim menjelang 1 Januari 2024 yang mengandungi kesemua maklumat berkaitan pergerakan kapal dan muatan kargo.

Menurutnya, pembangunan MMWS juga selari dengan kelebihan Malaysia menjadi hab pengedaran serantau dan banyak syarikat luar menunjukkan minat menjadikan negara ini sebagai pusat logistik serantau.

“Umpamanya, syarikat IKEA (konglomerat multinasional Sweden) yang melabur di negara kita dan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengedaran terbesar mereka di rantau Asia Tenggara. Begitu juga ada syarikat Marks and Spencer; Denso dan BMW (syarikat pengeluar kereta dari Jerman).

“Sebab itu, kita harus tingkatkan daya saing dalam bidang pelabuhan negara dan sektor logistik. Itu antara sebab kita perkenal sistem tunggal ini,” katanya.

Loading...
Terkini