comscore
Tumpuan :
Nasional

Masalah tatatertib antara punca 148 penjawat awam dibuang kerja

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Masalah tatatertib dan kelakuan serta gagal dalam tempoh percubaan menjadi punca seramai 148 penjawat awam ditamatkan perkhidmatan dan dibuang kerja sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 51 kakitangan dibuang kerja kerana masalah tatatertib dan kelakuan, manakala 97 lagi ditamatkan perkhidmatan kerana gagal disahkan dalam tempoh percubaan.

Seramai 18 penjawat awam terbabit dibuang kerja oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana tidak hadir bertugas, 20 individu kerana isu tatakelakuan, antaranya terbabit dengan dadah, manakala 13 individu lagi disebabkan sabitan mahkamah.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata peningkatan tindakan melalui Lembaga Tatatertib dibuat setiap tahun, membuktikan bahawa mendapat tempat dalam perkhidmatan awam, tidak boleh dianggap selesa.

Beliau berkata, tindakan tatatertib diambil oleh SPA meningkat, dengan kertas 20 hingga kertas membabitkan tatatertib dibentangkan pada mesyuarat pihaknya setiap minggu.

“Bagi 2021 pula, seramai 83 penjawat awam dibuang kerja, dengan 48 daripada tidak hadir bertugas, 26 membabitkan isu tatakelakuan dan sembilan lagi kerana sabitan mahkamah,” katanya kepada BH.

Zainal Rahim berkata, terdapat lima lembaga tatatertib, antaranya yang dipengerusikan oleh beliau dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Beliau menegaskan, SPA sentiasa mematuhi Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 395/1993 bagi memastikan anggota perkhidmatan awam melaksanakan tanggungjawab berasaskan kepada peraturan dan pekeliling yang ditetapkan.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata, SPA akan cuba meluluskan 100 peratus permohonan pertukaran perkhidmatan dalam keadaan tertentu yang dibuat pegawai kerajaan.

Katanya, permohonan itu akan diluluskan bagi mengelakkan timbul isu lain seperti kemurungan dan pengurangan produktiviti kerja atau tidak hadir bertugas dalam kalangan penjawat awam yang tidak dapat bertukar.

“Macam ada yang isteri bekerja di suatu negeri, suami berkhidmat di jabatan Persekutuan. Kita tak pernah mengecewakan, kita luluskan pertukaran kerana tidak mahu mengakibatkan perkara lain seperti malas bekerja, tidak hadir bertugas dan kemurungan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh lima tahun iaitu sejak 2017 hingga tahun lalu, SPA sudah meluluskan 315 pertukaran perkhidmatan penjawat awam, termasuk 56 pertukaran tahun lalu, yang dibuat atas permohonan pegawai atau jabatan.

Pertukaran di bawah bidang kuasa SPA, membabitkan pertukaran ketua perkhidmatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan dan daripada perkhidmatan awam negeri di bawah bidang kuasa suruhanjaya ke perkhidmatan awam am Persekutuan.

Pertukaran biasa dalam perkhidmatan daripada satu kementerian kepada kementerian lain itu adalah di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau kementerian.

Selain itu, Zainal Rahim berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 15,096 pengesahan lantikan dibuat suruhanjaya itu, selain 13,300 pengesahan dalam perkhidmatan.

Beliau berkata, pengambilan pegawai tadbir dan diplomatik juga tidak dibuat pada tahun ini, sama seperti tahun lalu.

Pengambilan terakhir pegawai tadbir dan diplomatik dibuat pada 2021, dengan pembaharuan dari aspek penilaian dan temu duga secara dalam talian di SPA atau temu duga dari lokasi calon berada. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini