comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Panggil rakan sekerja ‘sayang’ atau ‘dear’, ‘Sexting’ dikategorikan gangguan seksual

 

KUALA LUMPUR: Curang atau menjalin hubungan sulit, serta memanggil rakan sekerja dengan gelaran ‘sayang’ atau ‘dear’ boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Itu antara jenis gangguan seksual dan kesalahan penjawat awam yang diperincikan dalam satu surat edaran oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Menurut surat bertarikh 7 April lalu, ucapan ‘sayang’ dan ‘dear’ oleh mana-mana pegawai awam yang mengganggu mangsa dikategorikan sebagai kesalahan gangguan seksual secara lisan.

Tindakan menyentuh, memegang, raba, cium, cubit, usap, peluk, merapati dan seumpamanya oleh penjawat awam pula adalah kesalahan gangguan seksual secara fizikal.

Penjawat awam juga dianggap melakukan gangguan seksual visual jika menghantar gambar tidak senonoh serta mesej berbaur seks atau ‘sexting’ menerusi platform seperti WhatsApp dan seumpamanya.

Ketika membuat aduan, mangsa perlu memaklumkan kesan akibat gangguan terbabit secara terperinci seperti menyebabkan fikiran terganggu, perasaan kurang senang, rasa terhina dan sebagainya.

Mangsa juga perlu memaklumkan tempat, masa dan tarikh kejadian, selain tempat bertugas ketika kesalahan itu berlaku.

Semua kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Pada masa sama, surat edaran dikeluarkan Bahagian Naik Pangkat dan Tatatertib SPA itu turut menggariskan penjawat awam yang terbabit dalam hubungan sulit sebagai kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Kesalahan lain termasuklah tidak hadir bertugas, tidak ketik kad perakam waktu, mengemukakan sijil cuti sakit palsu, penyalahgunaan dadah, membuat penyataan awam di media sosial dan kesalahan perolehan.

Hukuman bagi setiap kesalahan pula akan ditentukan Lembaga Tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, sama ada amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja.

Loading...
Terkini