comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Mayat Hani Suefyan ditemui…

KOTA TINGGI : Remaja lelaki berusia 16 tahun yang hilang ketika bermandi-manda di Pantai Batu Layar di sini, semalam, ditemui mati lemas.

Mayat Hani Suefyan Hanizam ditemui dalam keadaan terapung kira-kira jam 5.20 petang tadi, pada jarak 100 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang menyambung semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 3 petang tadi.

“Hasil operasi SAR pada hari kedua, kita berjaya menemukan mangsa yang hilang dan disahkan telah meninggal dunia disyaki akibat lemas.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan sedang dibawa oleh arus ke pantai.

“Mayat mangsa juga sudah dicamkan oleh ibu bapanya,” katanya ketika ditemui pada operasi SAR di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Seramai 10 pegawai dan 63 anggota terdiri daripada Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam operasi SAR pada hari ini.

Terdahulu, bapa saudara mangsa, Abdul Rahim Hashim, 26, dilihat melaungkan azan kira-kira jam 3.55 petang sebelum memulakan operasi SAR berkenaan.

Seramai sembilan ahli keluarga termasuk bapa mangsa, Hanizam Hashim, 47, turut serta dalam operasi SAR untuk mencari mangsa sebelum azan turut dilaungkan sekali lagi ketika proses mencari dilakukan di tengah pantai.

Jenazah Hani Suefyan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai, Gemereh, Segamat.

Semalam, media melaporkan seorang remaja ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Layar di sini.

Dalam kejadian jam 1.26 petang semalam, Mohamad Imran Mohd Nazir, 17, dilaporkan meninggal dunia, manakala Hani Suefyan tidak ditemui.

Loading...
Terkini