comscore
Tumpuan :
Nasional

Media Malaysia, Indonesia perlu perkukuh jaringan kerjasama dua hala

Lichong (kanan) menyerahkan buku kepada Edy sempena sempena HPN Medan 2023.

MEDAN, Indonesia: Media Malaysia dan Indonesia harus mengambil manfaat untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama dua hala dengan perpindahan ibu kota negara (IKN) Indonesia dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur.

Sehubungan itu Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui, menyarankan agar kerjasama diwujudkan antara Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) dengan Persatuan Wartawan Malaysia (PWM) yang masih di peringkat penubuhan.

Untuk sementara ini, katanya, kerjasama boleh diperkukuh menerusi Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) di kedua-dua negara.

ISWAMI Malaysia dipimpin oleh mantan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Mokhtar Hussain manakala ISWAMI Indonesia diterajui tokoh veteran, Asro Kamal Rokan.

Lichong berkata demikian selepas menyerahkan buku Nusantara, Jiran Sepulau kepada Gurbernur Sumatera Utara, Edy Rahmayadi pada perasmian persidangan media bertema Peluang Pers di Tahun Yang Menandatang sempena Hari Pers Nasional (HPN) di sini hari ini.

HPN Medan 2023 akan dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo esok. Ia dihadiri lebih 1,000 wartawan dari seluruh Indonesia.

Lichong yang juga anggota ISWAMI Malaysia berkata perpindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara secara geografinya mendekatkan lagi hubungan kedua-dua negara.

“Media kedua-dua negara harus melihat kedekatan ini dalam konteks kerjasama pertukaran maklumat, bahan berita dan seumpamanya.

“Ini kerana perpindahan itu nanti akan turut membawa isu-isu sampingan antara negara seperti tenaga kerja, migrasi, penyeludupan dan seumpamanya.

“Justeru, peranan media dalam menangani isu-isu sedemikian sangat penting demi memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara,” katanya, sambil mengakui ISWAMI banyak memainkan peranan sedemikian selama penubuhannya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini